nuffnang

Showing posts with label accident. Show all posts
Showing posts with label accident. Show all posts

Monday, October 11, 2010

Bas Melambung


‘Objek hitam menerpa saya’ (Petikan Utusan Malaysia)

MELAKA 11 Okt. – Seorang pemandu bas memaklumkan dia ternampak satu objek hitam seperti menerpa di hadapannya sebelum merempuh bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedang dipandunya.

Umar Yusop, 31, bagaimanapun terselamat dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa 12 orang itu berkata, selepas itu dia tidak sedar apa-apa lagi sehingga dimaklumkan bahawa objek itu adalah bas Ekspres Delima yang terbabas dan melambung dari laluan bertentangan.

“Ketika itu cuaca amat baik. Sebaik sahaja ternampak objek hitam itu, saya segera menekan brek sebelum ia terus merempuh bas yang saya pandu,” katanya.

Umar adalah antara lebih 40 penumpang yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, tiga buah kereta dan sebuah van di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang semalam.

Nahas pada pukul 6.50 petang itu berlaku apabila sebuah bas Ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain.

Ia kemudian bertembung dengan bas dipandu Umar yang ketika itu membawa 36 peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Bukit Jalil.

Bagaimanapun, kesemua 36 penumpang itu dilaporkan selamat.

Mengimbas kembali detik kemalangan ngeri itu, Umar yang telah empat tahun memandu bas JKM berkata, pemanduannya berjalan lancar seperti biasa namun kemalangan itu berlaku begitu pantas.

“Ketika itu, saya memandu seperti biasa dan tidak berasa apa-apa yang pelik sehinggalah kemalangan itu berlaku dalam sekelip mata.

“Walaupun saya cedera di muka, patah tangan kanan dan tulang rusuk, saya bersyukur kerana terselamat dan semua penumpang saya juga tidak mengalami kecederaan,” katanya yang ditempatkan di Wad 1-3 Hospital Melaka di sini.

Add to Technorati Favorites

Sunday, October 10, 2010

12 Maut Tragedi Lebuh Raya PLUS Berhampiran Simpang Ampat, Melaka.

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL, FARABI SYED SHEIKH AL-JABRI, RIZANIZAM HAMID dan NORAZLIZA ISMAIL (Utusan Malaysia)
SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.
Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.
Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.
Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.
Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.
Difahamkan, mangsa yang maut adalah pemandu bas dan penumpang serta penumpang dua buah kereta yang terhimpit dihempap bas tersebut.
Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.
Katanya, seorang daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Menurut beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di HTJ.
Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun.
Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau.
Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya, ketika ini, identiti mangsa yang cedera dan meninggal dunia masih belum diketahui.
Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.
Dalam pada itu, salah seorang penumpang bas Ekspres Delima yang terselamat, Nur Najlaa Aqilah Mohd. Ghazali, 19, berkata, dia tiba-tiba terasa bas yang dinaikinya berpusing lalu menghempap sebuah kereta selepas melambung ke laluan bertentangan.
“Ketika kejadian, saya sedang tidur. Saya tersedar apabila bas itu berpusing dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan. Tidak lama kemudian, bas yang kami naiki dirempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah bas (membawa ahli PBTM),” kata pelajar Universiti Malaya itu yang kini dirawat di HTJ setelah mengalami kecederaan di tangan dan muka.
Difahamkan, bas JKM membawa peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa PBTM, turut dinaiki Exco Kerajaan Melaka, Datuk Karim Sulaiman. Bagaimanapun, kesemua penumpang bas itu dilaporkan selamat.
Add to Technorati Favorites